15 Okt 2009

Berfikirlah Untuk Diri Sendiri


Ramai orang bercita-cita menjadi kaya suatu hari nanti. Sama ada kekayaan itu dijana melalui rangkaian perniagaan yang berdaya maju ataupun melalui ilmu yang dimanfaatkan oleh masyarakat awam. Cita-cita ini mungkin sama untuk setiap orang walaupun pada hari ini dan ketika ini orang yang bercita-cita itu adalah seorang eksekutif, kerani, guru atau pun seorang tukang kebun. Mengikut congakan akal, mustahil orang yang berjawatan biasa untuk menjadi seorang yang luar biasa. Perkara yang luar biasa bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana ia perlukan satu sentuhan yang luar biasa juga iaitu hanya melalui berfikir.

Berfikir dianggap sesuatu yang luar biasa kerana malas berfikir atau tidak mahu berfikir dianggap sesuatu yang biasa. Mari kita lihat berapa ramai pekerja dalam sesebuah organisasi yang berfikiran kritis dan kreatif. Begitu terhad bukan? Kebiasaannya orang akan berfikir setelah diminta untuk berfikir ataupun dipaksa untuk berfikir bagi mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah. Kalau tidak diminta untuk berfikir, mereka lebih selesa untuk melakukan kerja-kerja rutin yang tidak memerlukan otak untuk berfikir secara serius. Sebaliknya kerja-kerja yang melibatkan perancangan untuk penambahbaikan perkhidmatan, perancangan pemasaran, penghasilan produk-produk baru dan strategi mencapai sasaran organisasi tidak ramai yang secara sukarela memikirkannya. Tak mengapalah.. kita tinggalkan perkara itu.

Bagaimana berfikir boleh menjadi kaya?? Berfikir menjadi kaya ialah kita berfikir mencari jalan menyelesaikan kelemahan kita. Kelemahan inilah yang menghalang kita untuk mencapai kejayaan dan kekayaan. Kita perlu beri ruang kepada minda dan akal kita untuk berfikir. Berfikir mengenai kekuatan diri dari segi emosi dan fizikal untuk melakukan kerja. Apakah kita menghadapi tekanan atau tidak. Sekiranya kita menghadapi tekanan dan tak mampu menahan asakan tekanan itu, berapa lama harus kita tunggu dan apa perlu kita buat. Kita tidak perlu lari dari tekanan itu dan mencari kerjaya lain, kerana mencari kerjaya baru pada saat ini bukan idea yang bagus.  Mungkin tekanan itu berpunca dari kelemahan kita. Lemah kerana kurang ilmu dan kemahiran. Akal tidak diasah untuk berfikir. Lama-lama berkarat. Bila dah karat mulalah rasa berat untuk belajar. Takut tak ingat fakta dan gagal dalam peperiksaan. Tugasan bos berikan, masih belum disiapkan. Hari demi hari bos tanya perkembangan tapi kita masih lagi dungu untuk merancang. Pada ketika ini kita akan berkata pada diri sendiri: “Aku tidak tahu buat, apa harus aku buat?”. Akal mula berfikir dan sedar bahawa ilmu perlu dicari, kemahiran perlu ditambah. Masih belum terlambat. Pepatah Inggeris menyebut “Better Late Than Never”.

Bagaimanapun tidak ramai yang  akan memikirkan hal ini secara serius. Sedar diri perlu diupgrade dengan ilmu-ilmu dan kemahiran baru, tapi malas malah selesa melakukan kerja-kerja yang sama saban hari walaupun kadang kala rasa bosan. Orang yang malas mengupgrade diri sendiri umpama komputer lama, sudah out of date, banyak virus malah kemampuan dan keupayaan pun tidak seperti dulu. Tunggu masa untuk dibuang sahaja dan digantikan dengan komputer baru yang lebih praktikal dan produktif.

Ada juga segelintir yang mempunyai sedikit minat untuk mengikuti kursus pembangunan diri, tapi minat itu akhirnya terbantut dek kerana kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris. Nampaknya bahasa menjadi faktor utama kenapa seseorang itu sukar untuk menyertai mana-mana kursus padahal peruntukan untuk latihan banyak disediakan oleh pihak syarikat.  Akhirnya pekerja itu kembali melakukan kerja rutin. Ada kalanya mereka cuba berjinak-jinak dengan perniagaan secara part-time bagi menambah pendapatan mereka. Ia satu tindakan yang baik kerana berniaga juga merupakan proses mencari ilmu tapi awas, dalam melakukan kerja-kerja sampingan yang bersifat peribadi, kita jangan lupa tugas hakiki yang kita galas itu. Bimbang terlalu ghairah melakukan urusan peribadi dan menggunakan harta syarikat, kita alpa bahawa kita telah melakukan pengkhianatan pada majikan.


Berbeza dengan orang yang berfikir, mereka berfikir secara matang dan bermatlamat. Ada sesuatu yang hendak dicapai. Menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam, esok lebih baik dari hari ini. Mereka sensitif dengan kelemahan kerana ia umpama penyakit. Jika tidak dirawat, ia akan terus membarah. Setiap kelemahan diri akan diatasi satu persatu tanpa alasan. Bak kata pepatah “orang berjaya tunjukkan hasil, orang gagal tunjukkan alasan”.
Orang yang berfikir dirinya tidak lekang dengan ilmu. Imam Al-Syafi’i secara sinis pernah menganjurkan orang yang malas, enggan dan punya pelbagai alasan untuk tidak belajar supaya ditakbirkan untuknya empat kali. Ya, takbir empat kali itu untuk solat jenazah. Dengan kata lain, orang itu seolah-olah sudah mati. Mati jiwa dan hatinya. Kalau tak mahu mati, jangan segan ikuti kursus bahasa sekiranya bahasa menjadi masalah untuk berkomunikasi dengan pelanggan, ataupun ikuti kursus strategi pemasaran melalui media baru sekiranya tidak tahu menggunakan aplikasi internet untuk meningkatkan jualan. Berbekal pengalaman kerja dan sijil SPM, bulatkan tekad untuk sambung belajar ke peringkat diploma dan ijazah hinggalah ke peringkat PhD.

Sampai suatu masa nanti, orang yang berkualiti dan produktif akan diberi tempat untuk mengisi jawatan yang lebih tinggi sama ada di organisasi yang sama atau di tempat lain. Apatah lagi kalau seseorang itu berilmu, nescaya dia akan dapat lonjakan gaji yang tinggi berbanding gajinya dahulu. Rezeki datang mencurah-curah. Khidmatnya sentiasa diperlukan. Itulah namanya dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi bukit, dicampak ke langit menjadi awan berisi hujan yang penuh dengan rahmat. Dari seorang eksekutif menjadi seorang ahli perniagaan, dari seorang guru menjadi seorang profesor, dari seorang tukang kebun menjadi seorang hartawan.. berfikirlah untuk diri sendiri…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan