Setiap pasangan suami dan isteri mempunyai citarasa yang tersendiri ke arah mana anak itu hendak dijuruskan. Ada yang inginkan anaknya menjadi seorang peguam yang disegani, ada yang ingin anaknya menjadi seorang doktor pakar, ada juga yang ingin anaknya menjadi seseorang yang mengharumkan nama keluarganya dan ada juga yang tidak kisah apa mau jadi dengan anaknya, yang penting anaknya soleh dan sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.
Secara umumnya semua ibu bapa inginkan anak yang hebat. Sama ada hebat pada jawatan, hebat pada pangkat, hebat pada kedudukan atau hebat pada amalan agamanya itu terpulang pada tafsiran dan cita rasa kedua ibu bapanya.
Menyentuh tentang anak yang hebat, kali ini saya ingin mengulas sebuah buku yang berjudul Anakku Hebat, Anakku Soleh karangan Ustaz Zahazan Mohamed. Sekali pandang buku ini cukup menarik kerana selain mempunyai cetakan berwarna pada setiap helaian dan gambar serta ilustrasi yang cantik, pengisiannya diolah dengan menggunakan bahasa yang mudah dan teratur. Buku ini boleh diklafikasikan sebagai buku pendidikan anak-anak mengikut pandangan Islam yang mana rujukan utamanya adalah Kitab Arab berjudul Tarbiyatul Aulad fil Islam karangan Abdullah Nasih ’Ulwan. Setahu saya kitab ini sememangnya menjadi bacaan utama bagi pelajar Syariah/Usuluddin tahun akhir di universiti sebagai persediaan untuk berumahtangga.