4 Nov 2009

Anakku Hebat, Anakku Soleh

Setiap pasangan suami dan isteri mempunyai citarasa yang tersendiri ke arah mana anak itu hendak dijuruskan. Ada yang inginkan anaknya menjadi seorang peguam yang disegani, ada yang ingin anaknya menjadi seorang doktor pakar, ada juga yang ingin anaknya menjadi seseorang yang mengharumkan nama keluarganya dan ada juga yang tidak kisah apa mau jadi dengan anaknya, yang penting anaknya soleh dan sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.

Secara umumnya semua ibu bapa inginkan anak yang hebat. Sama ada hebat pada jawatan, hebat pada pangkat, hebat pada kedudukan atau hebat pada amalan agamanya itu terpulang pada tafsiran dan cita rasa kedua ibu bapanya.

Menyentuh tentang anak yang hebat, kali ini saya ingin mengulas sebuah buku yang berjudul Anakku Hebat, Anakku Soleh karangan Ustaz Zahazan Mohamed. Sekali pandang buku ini cukup menarik kerana selain mempunyai cetakan berwarna pada setiap helaian dan gambar serta ilustrasi yang cantik, pengisiannya diolah dengan menggunakan bahasa yang mudah dan teratur. Buku ini boleh diklafikasikan sebagai buku pendidikan anak-anak mengikut pandangan Islam yang mana rujukan utamanya adalah Kitab Arab berjudul Tarbiyatul Aulad fil Islam karangan Abdullah Nasih ’Ulwan. Setahu saya kitab ini sememangnya menjadi bacaan utama bagi pelajar Syariah/Usuluddin tahun akhir di universiti sebagai persediaan untuk berumahtangga.



Buku Anakku Hebat, Anakku Soleh ini mempunyai beberapa bab yang menarik. Antaranya:
Bab 1 Kepentingan Dan Cara Mentarbiah Anak
Bab 2 Siapakah Yang Bertanggungjawab Dalam Mendidik Generasi?
Bab 3 Aspek-Aspek Pentarbiahan
Bab 4 Membentuk Minat Dan Kemahiran Anak-Anak
Bab 5 Pergaulan Dengan Anak-Anak
Bab 6 Wasiat Dan Doa Pilihan Buat Anakku

Mengambil sedikit method pendidikan yang terdapat dalam buku ini, pengarang membahagikan peringkat pendidikan anak-anak kepada 3 iaitu:
1) sebelum 2 tahun
2) 2 hingga 5 tahun dan
3) 5 hingga 12 tahun

Pengarang telah menyatakan beberapa saranan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk setiap peringkat umpamanya kanak-kanak yang berumur bawah 2 tahun perlu diberi sepenuh kasih sayang, mencukupkan tempoh susuan selama 2 tahun dan tidak memukulnya sekiranya dia melakukan kesalahan.

Pengarang turut menyentuh mengenai kesan memanjakan anak, sikap pilih kasih ibu bapa, kesan membeza-bezakan anak, kesan berbohong pada anak, kesan melakukan kekerasan pada kanak-kanak dan sebagainya. Pengarang bukan sahaja mendedahkan beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh ibu bapa, tapi turut menyatakan bagaimana Islam menangani kesilapan-kesilapan itu berdasarkan kepada beberapa cerita Nabi, para sahabat dan para tabi’in. Antara lain pengarang turut memuatkan beberapa doa pilihan. Ianya pendek dan senang dibaca dan dihafalkan.

Kesimpulannya buku ini memberi panduan kepada semua ibu bapa untuk mendidik anak menjadi seorang yang hebat. Pengarang ingin mengajak kita supaya meletakkan hebat beragama itu lebih utama dari hebat pada urusan dunianya kerana apabila seseorang itu hebat pada agamanya, sudah pasti dia mempunyai akhlak yang baik, bekerja bersungguh-sungguh dan tidak melakukan sebarang kerja yang mendatangkan dosa umpamanya mengambil rasuah, khianat, memecah belah masyarakat dan sebagainya.

Buku ini teramat sesuai dan saya syorkan supaya dibaca oleh semua ibu bapa, pasangan yang bakal berkahwin, guru-guru tadika, taska dan sekolah serta mereka yang ingin menjurus anaknya menjadi seorang yang hebat dan soleh.

Latar Belakang Pengarang

Ust Haji Zahazan Mohamed

Dilahirka di Melaka pada tahun 1974. Mendapat pendiidkan awal di Sek. Keb. Kg. Gelam sebelum melanjutkan pelajaran di Sek. Men. Agama Sultan Muhammad, Melaka, seterusnya memasuki Kolej Islam Klang pada tahun 1990. Kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan (1992-1996). Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahsa Arab UM (2003). Meneruskanpelajaran ke peringkat PhD. Berpengalaman dalam bidang kursus dan membimbing jemaah dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Urusan Tabung Haji. Sering dijemput memenuhi program ceramah agama. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di akhbar dan majalah. Sering muncul dalam program radio dan tv.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan